KUALA LUMPUR: Pelakon dan bekas penyanyi kumpulan Elite, Fiza Halim
mengesahkan dia bukan lagi isteri kepada bintang Akademi Fantasia (AF),
Adam.
Mendedahkan perkara itu kepada BH Online, Fiza berharap penjelasan itu dapat mengelak salah faham dan fitnah.
"Kami berpisah cara baik. Saya anggap sudah bukan jodoh untuk kami
bersama lagi. Saya minta dia lepaskan saya tanpa dendam di hati.
Sekarang masing masing bawa haluan sendiri.
"Saya mahu kongsi hal ini kerana mahu maklumkan status sebenar. Ini
kerana ramai sudah mula bertanya setiap kali saya berjalan tanpa Adam di
sisi.
"Malah, Adam sudah tidak memuat naik gambar saya di laman Instagramnya.
Jadi saya lihat pencerahan ini perlu supaya tak menjadi fitnah pula,"
katanya.
Fiza dan Adam bernikah pada September 2013 tetapi mereka tidak dikurniakan anak.
Menyorot kisah perkahwinan pasangan ini, Adam dan Fiza pernah bercerai
pada 28 April 2014 tetapi rujuk pada tahun sama. Namun, tahun lalu, Fiza
sekali lagi nekad menuntut cerai kerana melihat hubungan mereka tidak
boleh dipertahankan lagi.
Buat kali kedua, Adam menceraikan Fiza dengan talak satu di rumah mereka
di Gombak pada 21 September lalu. Mereka kemudian mengesahkan lafaz
cerai di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 28 Disember lalu.
Fiza berkata, dia sudah berusaha sebaik mungkin serta memberi peluang
kepada Adam mempertahankan rumah tangga mereka. Namun, akui Fiza,
hubungan mereka makin jauh dan hambar.
"Kali pertama bercerai, saya masih berharap kami akan terus bahagia.
Tetapi semakin lama, semuanya dilihat semakin kelam. Jadi, pada tahun
lalu, saya nekad untuk berpisah dengannya. Kami tidak tinggal sebumbung
beberapa bulan.
"Malah, pada sambutan Aidilfitri lalu, Adam beraya seorang diri di
Sabah. Saya pula beraya dengan keluarga. Malah, tahun lalu, saya diuji
dengan kehilangan bapa tercinta.
"Dugaan itu bagai datang bertimpa. Tapi saya kuatkan diri," katanya.
Solat istikharah mohon petunjuk
Fiza berkata, ketika terbabit dalam penggambaran drama Hello Mr Perfect,
tahun lalu, ramai teman yang mengetahui kisah rumah tangganya,
mempersoalkan sampai bila dia hendak hidup begitu.
"Saya buat solat istikharah dan minta petunjuk daripada Tuhan. Keputusan
lebih condong kepada perpisahan," katanya yang enggan mendedahkan punca
sebenar mereka bercerai.
Akui Fiza, pernah tahun lalu, mereka kembali tinggal sebumbung dengan harapan dapat menyelamatkan perkahwinan.
"Tetapi semakin dicuba, semakin jauh perasaan itu. Sekitar Ogos tahun lalu, kami sebumbung tetapi tinggal dalam bilik berbeza.
"Malah, hari jadi saya pada bulan Ogos lalu tidak diraikan," katanya yang sudah habis tempoh edah pada 31 Disember lalu.
Fiza berkata, dia akan terus berlakon untuk mencari rezeki.
"Saya harap rezeki murah dan bertambah kerana hidup mesti diteruskan," katanya.
Mengenai hubungannya dengan bekas suami pertama, Ahmed Farriq, Fiza berkata, dua anak menjadi penyatu mereka.
"Hubungan saya dengan bekas suami pertama dan keluarganya masih baik. Anak-anak menyatukan kami dalam hal ini," katanya.
Ketika berkahwin dengan Ahmed Farriq, mereka dikurniakan dua anak iaitu Ferra Aryanna, 8, dan Feeya Adyrra, 7.