SEJAK semalam, nama pelakon Ruhainies dan suami Adira, Datuk Seri Adnan Abu hangat diperkatakan menerusi media sosial selepas video mesra mereka tersebar menjadi viral.
Walaupun heroin Hello Mr. Perfect sudah menjelaskan bahawa mereka tiada hubungan, namun kenyataan ahli perniagaan itu yang mengakui menyukai Ruhainies mengejutkan netizen.
Pun begitu, pelakon yang semakin meningkat Azrel Ismail tampil membela Ruhainies yang juga merupakan teman wanitanya.
Menurut Azrel, 30, dia yakin Ruhainies memang tidak mempunyai sebarang hubungan cinta dengan suami Adira.
“Saya terkejut dengan berita dan video yang tersebar hari ini (Jumaat). Saya yakin Ruhainies tidak ada apa-apa dengan lelaki itu dan mereka bertemu atas urusan kerja kerana sebelum ini mereka ada projek bersama.
“Saya kenal Ruhainies orang macam mana dan jika dia ingin keluar selalunya dia akan ditemani ahli keluarga atau pembantu peribadinya sahaja,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Azrel, Ruhainies juga ada memaklumkan kepadanya untuk keluar pada Khamis lalu bersama-sama pembantu peribadinya namun tidak ketahui tujuannya apa.
Dalam pada itu, Azrel menyifatkan Ruhainies sebagai seorang wanita yang baik.
“Saya kenal Ruhainies sejak berlakon dalam Si Montel tahun lalu dan kami menjadi rapat sejak berlakon bersama dalam drama Menantu Tintong.
“Dia wanita yang baik dan manja dan boleh dikatakan paling istimewa daripada wanita lain yang pernah saya jumpa. Cuma kalau ditanya tentang perancangan peringkat seterusnya, kami masih belum ada apa-apa lagi ikatan yang boleh disahkan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC